Mengenal penyakit Cerebral Palsy

Disediakan oleh ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama

Sekali imbas, jika dilihat dari riak wajah, fizikal mahupun mentalnya, Siew Mei (bukan nama sebenar), 4, tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak normal yang lain. Malah, kanak-kanak comel yang sihat ini juga memiliki kemahiran bersosial dan mudah mesra dengan sesiapa saja di sekelilingnya.  Bagaimanapun, jika diteliti cara dia berjalan, Siew Mei mengalami kesukaran kerana kedua-dua belah tapak kakinya agak sedikit menjingkit dan tirus ke dalam. Menurut ibunya, Siew Lye ketika anak bongsunya mencecah usia setahun, tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa dia sudah boleh mula berjalan. “Anak saya tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang berkaitan dengan pergerakan (motor) seperti kanak-kanak normal lain seusianya. “Saya menyedari bahawa perkembangan anak saya agak lambat berbanding kanak-kanak normal lain dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia boleh berjalan dan duduk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Sebaliknya, ketika mencecah umur dua tahun, Siew Mei hanya menghengsot-hengsotkan punggungnya untuk bergerak. Walaupun dari segi perkembangan intelektualnya Siew Mei boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang pintar, namun perkembangan pergerakan (motor) yang agak lewat menimbulkan kebimbangan ibunya. Setelah menjalani pemeriksaan doktor, Siew Mei disahkan menghidap cerebral palsy (CP) iaitu sejenis spastik diplegia yang mengakibatkan kekejangan otot-otot pada kedua-dua belah kakinya. Kedua-dua belah kaki Siew Mei menjadi spastik yang menyebabkan keabnormalan ketika berjalan, dia terpaksa menjingkit dan kedua-dua belah tapak kakinya termasuk ke dalam. Menurut laporan doktor, masalah yang dialami oleh Siew Mei mempunyai kaitan dengan sejarah kelahirannya. Hasil siasatan doktor mendapati, Siew Mei adalah bayi yang tidak cukup bulan dan kedudukannya juga songsang ketika dilahirkan. Perkembangan sebagai janin yang belum cukup matang ketika itu menyebabkan Siew Mei memerlukan bantuan pernafasan (oksigen) selama lapan hari bagi membolehkan paru-parunya berfungsi. Selain memerlukan bantuan pernafasan, Siew Mei juga mempunyai rekod pernah mengalami masalah nafas terhenti (apnea) yang memungkinkan bekalan oksigen ke otaknya terganggu. Apabila masalah ini berlaku, ia boleh menjejaskan fungsi saraf pada otak yang mengawal perkembangan pergerakan. Bagaimanapun, Siew Mei yang telah menjalani rawatan ubat-ubatan dan pembedahan untuk membetulkan otot-otot kedua-dua belah kakinya kini menunjukkan perubahan. Dia mungkin akan dapat berjalan seperti kanak-kanak lain. Pembentukan otak yang sempurna merupakan titik permulaan yang paling penting dalam perkembangan awal kehidupan manusia. Ketidaksempurnaan atau sebarang kecederaan yang berlaku pada otak memungkinkan fungsinya terganggu sekali gus menjejaskan lain-lain fungsi tubuh yang berkaitan dengannya. Kecederaan otak yang dialami sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan boleh menyebabkan fungsi saraf yang mengawal pergerakan dan tubuh termasuk kaki dan tangan (postur) seseorang terganggu. Pakar Perunding Pediatrik dan Kaji Saraf, Hospital Selayang, Dr. T. Malinee berkata, masalah ini yang lebih dikenali sebagai cerebral palsy menyebabkan pergerakan (motor) otot-otot gagal berfungsi secara normal. Menurut beliau, CP menyukarkan kanak-kanak terbabit melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seusianya seperti berjalan, merangkak atau mengambil sesuatu objek. “Kekejangan otot yang berlaku ini menyebabkan cara mereka berjalan tidak normal seperti menjingkit, otot-otot tangan yang lembik, tidak dapat berdiri dengan seimbang dan sebagainya,” katanya. Bagaimanapun, sebahagian besar kanak-kanak spastik ini mempunyai tahap perkembangan mental yang cukup baik.

PUNCA

Dr. Malinee memberitahu, meskipun punca sebenar CP tidak diketahui, namun ia dikaitkan dengan kecederaan pada otak yang berlaku sama ada dalam proses kehamilan, semasa dan selepas bayi dilahirkan. “Pakar-pakar perubatan masih dalam proses kajian untuk mencari punca sebenar CP,” katanya. Puncanya terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

A. Semasa dalam kandungan

– Jangkitan kuman seperti rubella, toxoplasmosis, chicken pox, cytomegalovirus (CMV) dan AIDS boleh menjejaskan pembentukan otak janin dalam tempoh empat bulan pertama kehamilan.

– Pendedahan kepada bahan-bahan toksik seperti minuman keras, tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah. Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam kesemua elemen itu boleh merencatkan pertumbuhan organ-organ penting janin seperti otak, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

– Kekurangan zat pemakanan. Ibu yang kurang mengambil makanan yang seimbang seperti asid folik dan vitamin boleh menjejaskan pertumbuhan janin.

– Faktor genetik. Masalah terlebih kromosom Trisomi 13 dan Trisomi 18 boleh mengakibatkan muka, jantung, otak, kaki dan tangan janin mengalami kecacatan.

– Ibu-ibu yang menghidap penyakit-penyakit yang serius seperti diabetes, jantung, buah pinggang, tiroid dan epilepsi.

– Kehamilan kembar

– Bayi yang songsang

B. Semasa kelahiran

Dengan kecanggihan dan kepakaran dalam bidang obstetrik pada masa kini, risiko untuk bayi mengalami kecederaan pada otak semasa dilahirkan terlalu rendah. Kriteria yang meningkatkan risiko seseorang bayi mendapat CP semasa dilahirkan ialah:

– Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature). Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan mempunyai risiko mendapat CP yang cukup tinggi berbanding bayi yang normal.

– Bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 2.5 kilogram. Dianggarkan risiko bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 1.5 kilogram mendapat CP ialah antara lima hingga lapan peratus. Malah, bayi-bayi ini juga mempunyai risiko 25 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat CP berbanding bayi yang dilahirkan normal.

– Bayi yang lemas dan tertelan najis semasa dalam kandungan (meconium aspiration).

– Penyakit kuning (jaundis). Ia berpunca daripada kekurangan G6PD, masalah rhesus darah yang tidak sesuai antara ibu dan bayi dan kelahiran tidak cukup bulan. Kandungan billirubin yang tinggi boleh merosakkan otak.

C. Selepas dilahirkan  

– Asphyxia. Masalah kesukaran bernafas seperti penyakit asma menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

– Shaken Baby Syndrome. Bayi yang digoncang dengan kuat supaya berhenti menangis boleh menggegarkan bahagian otak.

– Keracunan ubat-ubatan seperti panadol, minyak tanah dan sebagainya.

– Tertelan benda asing.

– Kemalangan jalan raya yang mencederakan kepala dan otak.

Jenis-jenis CP

– Spastik. Kekejangan pada bahagian sebelah kanan tubuh. Jika tangan dan kaki kanan terbabit ia dipanggil hemiplegia. Jika spastik ini membabitkan kedua-dua belah bahagian kaki ia dipanggil diplegia. Jika ia membabitkan seluruh tangan dan kaki dinamakan quadriplegia.

– Diskinetik. Pergerakan abnormal yang tidak boleh dikawal.

– Ataxic. Otot-otot tangan atau kaki yang lembik. Bagaimanapun, kategori ini paling jarang berlaku. – Campuran kesemuanya.  

Masalah-masalah yang dikaitkan dengan CP

Dianggarkan lima hingga 60 peratus kanak-kanak yang menghidap CP menghadapi beberapa masalah lain seperti:

– Lewat perkembangan mental

– Epilepsi

– Kerencatan otak

– Masalah pembelajaran

– Masalah pertuturan

– Masalah kepekakan

– Masalah penglihatan seperti juling, rabun atau hilang penglihatan

– Masalah emosi

Rawatan

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidap CP dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor kerana terdapat kaedah yang boleh membantu masalah anak-anak ini. Kaedah yang digunakan ialah: – Ubat-ubatan. Ia untuk mengurangkan masalah ketegangan otot-otot dan masalah epilepsi. Selain itu suntikan ubat Botulinum Toxin pada bahagian otot-otot yang tegang juga dapat membantu mengurangkan keadaan anggota tubuh yang spastik. – Pembedahan. Sekiranya rawatan ubat-ubatan gagal, kaedah pembedahan akan dilakukan dengan memotong dan memanjangkan otot-otot yang tegang. – Proses pemulihan – Rehabilitasi. Proses pemulihan kanak-kanak CP ini merangkumi pakar fisioterapi, juru pulih cara kerja, pakar terapi pertuturan, pakar telinga, pakar mata dan pakar psikologi. Selain itu, ia juga membabitkan guru-guru sekolah khas yang mempunyai latihan dalam pembelajaran kanak-kanak istimewa. Penggunaan splint, kasut khas dan alat-alat bantuan orthotic termasuklah corner feat iaitu kerusi khas, standing frame, rollator dan walker juga diperlukan.

CORETAN KISAH BENAR 2

Disediakan oleh ZAKIAH BT. BIDIN PKBP SK Seri Aman

Kisah ini berlaku di sebuah perkampungan tentang seorang insan istimewa bermasalah  ‘Down Sindrom’ yang lahir pada puluhan tahun yang lalu. Dia merupakan anak lelaki  bongsu dan lahir daripada keluarga yang besar. Oleh sebab dilahir dalam keadaan yang tidak sempurna, hubungan antara kedua ibu bapa menjadi renggang. Masing-masing menyalahi antara  satu sama lain. Tetapi kasih ibu tiada penghalang, menerima anaknya dengan hati terbuka malah mencurahkan kasih sayang tidak berbelah bahagi. Tanpa ilmu pengetahuan dalam mendidik anak  istimewa, ibu ini menjaga dan memelihara anaknya dengan caranya sendiri. Apabila anak meningkat usia tujuh tahun, dia sibuk menghantar anaknya ke sekolah biasa tetapi tidak diterima  dan disyorkan ke sekolah berkeperluan Khas.

Dek terlalu sayangkan anak dan tidak sanggup berpisah dengan anaknya dia sanggup melakukan apa sahaja semasa menjaga anaknya.Tindakan ibu mendapat tentangan dari anak-anak yang lain malah diminta ibu melatih adik supaya  boleh berusaha dan mengurus diri sendiri. Malangnya dibantah oleh ibu.Semakin meningkat usia si adik, abang dan kakak mendapati si adik tidak berupaya mengurus diri sendiri apatah lagi urusan ke tandas.Semuanya dilakukan oleh ibu. Akhirnya mereka masing-masing menjauhkan diri dari si adik. Bapa langsung tidak mempedulikannya.

Semakin lama, usia ibu meningkat tua dan selalu sakit, siapakah lagi yang dapat membantu menguruskan anaknya. Semua kakak dan abang si adik telah berumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila usia semakin mencecah 20an, adik masih tidak boleh mengurus diri malah membuang air kecil dan air besar tidak dapat dilakukan sendirian. Oleh itu, menjadi beban kepada keluarga. Ahli keluarga tidak sanggup menjaganya.Masing-masing menyalahkan cara didikan ibu.Akhirnya ibu sedar cara didikannya salah kerana terlalu sayangkannya, ibu sanggup melakukan apa saja sehingga menyusahkan diri siadik. Memandangkan tiada sorangpun di antara anak-anaknya yang ramai itu mampu menjaga si adik tadi, ibu sering  berdoa siang dan malam supaya anak ini dikembalikan kepada Allah  lebih awal daripadanya. 

Renungan…..

  1. Siapakah yang bersalah ?

  

CARTA ORGANISASI SK SERI AMAN 2008

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama

carta-organisasi-sk-seri-aman.jpg

CORETAN KISAH BENAR 1

Disediakan oleh PUAN NOOR SHAM BINTI MOHAMAD (Penyelaras PPKI)

Peristiwa benar ini berlaku di sebuah klinik swasta di Nibong Tebal, pada tahun 2002 yang lalu. Sebelum meneruskan perjalanan ke kampung, aku singgah di sebuah klinik untuk menemani adikku yang demam untuk mengambil ubat. Semasa menunggu pemeriksaan doktor, kebetulan datanglah seorang lelaki tua masuk ke klinik  tersebut. Dia tidak berbaju, hanyalah  berkain sarung pelikat yang telah lusuh, dan kotor malah berselipar jepun.

Ramai orang yang duduk menunggu  di luar  bilik doktor. Akupun duduk bersama dengan orang ramai dibangku yang disediakan. Lelaki tua  tadi pun duduk bersama dengan orang ramai tadi. Apabila dia duduk, semua orang bangun. Aku kehairanan… Yang tinggal dibangku itu aku dan lelaki tua itu tersebut. Aku perhatikan orang ramai berbisik-bisik tentang orang tua tersebut.

Kuperhatikan gelagat lelaki tua tersebut, dia bercakap sendirian  tidak berhenti-henti. Ada saja yang dibualkannya. Kemudian dia mengambil surat khabar dan membaca. Aku kehairanan, bolehkah lelaki tua itu membaca….? Aku pun bertanya dan diapun membaca sedikit. Rupa-rupanya dia boleh membaca tajuk-tajuk akhbar.

Sementara itu,  aku pun berbual lagi dengannya untuk mengesahkan adakah dia mengalami masalah mental. Kebetulan datanglah seorang insan memberitahu bahawa dia mengalami masalah mental yang agak serius. Dia diikat ataupun dikurung  di bilik belakang untuk mengelakkan dari merayau-rayau ke luar rumah. Namun dia tidak mencederakan orang lain. Dia tinggal bersama adiknya yang merupakan seorang usahawan kecil yang agak berjaya juga. Oleh itu, dia seringkali ditinggalkan bersendirian. Aku pun bertanya lagi, kenapa duduk di sini lama sangat? Lalu dia menjawab sedang bekerja sebagai ‘jaga’ di klinik tersebut. Kononnya ada orang nak bunuh doktor tersebut. Rasa geli hati juga dengan jawapan yang diberinya.  Selepas ini hendak ke mana? Tanyaku lagi. Dia menjawab nak makan nasi di kedai. Duit mana ? dia berkata nanti ke kedai makan, basuh pinggan baru boleh makan  nasi. Kemudian dia bangun dan memegang tanganku, dan meminta sedikit duit. Akupun menghulur duit yang dimintanya. Sebelum pergi lelaki itu memegang tanganku dan mencium sambil berkata; berkat… berkat…! Ku perhatikan hayunan langkah longlai seorang insan tua. Ke manakah dia? Dalam hati kecilku berkata, inilah nasib malang insan-insan yang kurang sempurna apabila dibiarkan begitulah jadinya.     


Profil SK Seri Aman

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI dan ROZITA BINTI ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama

PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI SK SERI AMAN 

SEJARAH PENUBUHAN

 gambar-guru.JPG murid.JPG

Dibuka pada tahun 1993. Jumlah murid berdaftar seramai 4 orang murid dan seorang guru.Pada tahun 1994 bilangan murid bertambah menjadi 10 orang murid dan 2 orang guru. Bertempat di bangunan lama bersebelahan kelas prasekolah. Dikendalikan oleh En. Hanafiah dan Pn. Noor Sham. Pada tahun 1995 murid bertambah menjadi 15 dan guru juga bertambah seorang iaitu Pn. Rofizah bt. Jusoh. Semenjak dibuka hingga kini, bilangan murid bertambah setiap tahun. 2001 pendidikan khas mempunyai bangunan sendiri dengan 4 buah kelas.Pada Disember 2003 sebuah bilik tambahan dibina untuk dijadikan sebagai bilik rekreasi. Kini, program ini telah mempunyai seramai 10 orang guru dan 35 orang murid yang mempunyai pelbagai masalah pembelajaran. Tahun 2008 bilangan murid seramai 35 orang, 10 orang guru dan 5 orang PPM

           Jumlah murid – 35 orang

          Lelaki 20 orang dan perempuan 15 orang

          Melayu –21 orang, Cina – 9 orang, India – 6 orang 

KATEGORI MURID

ADHD                                

Autisme

Slow Learner                    

Down Syndrome

Hyperactive                      

Mental RetardationMasculor Distrophy          

Developemental Delay 

VISI SEKOLAH

Melahirkan generasi cemerlang, berketrampilan dan terbaik dalam semua bidang.

MISI SEKOLAH

Sentiasa menghayati dan mengamalkan budaya cemerlang. Komitmen secara menyeluruh dalam segala bidang dan tugas yang diamanahkan. Sepadukan ilmu, amal, iman dan taqwa bagi melahirkan insan kamil. Amanah, setia dan ikhlas berlandaskan prinsip Rukun Negara   

VISI PENDIDIKAN KHAS SK SERI AMAN 

Melahirkan insan yang boleh berdikari, cemerlang dan dapat menjalani kehidupan bermasyarakat.  

MISI PENDIDIKAN KHAS SK SERI AMAN

Mendidik insan supaya boleh :

Berkemahiran untuk berdikari

Cenderung ke arah akademik

Bermoral dan beretika

Mengamalkan prinsip Rukun Negara

Memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan Negara

Lawatan ke Pulau Pinang

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama

 

 100_1675.jpg 100_1681.jpg 100_1695.jpg

Peserta bertolak dari sekolah pada pukul 7. 30 pagi dan berhenti sarapan di Perhentian Bukit Merah pada pukul 8.30 pagi. Seterunya meneruskan perjalanan ke Taman Burung, Muzium USM, Akuarium Ikan Batu Maung, Pasar Chowrasta dan akhir sekali menaiki feri dan tiba ke sekolah pada pukul 10.45 malam.  Tujuan lawatan ialah mendedahkan murid murid kepada dunia luar merupakan di samping mengeratkan silaturrahim antara guru dan ibu bapa. Kunjungan Ke Akuarium Batu Maung dan Taman Burung banyak memberi pengalaman kepada murid –murid dengan hidupan laut dan burung. Mereka sangat gembira dan memegang burung –burung dan ikan-ikan sebagai terapi kepada mereka. Seterusnya lawatan ke Muzium USM banyak terapi yang dapat dialami  oleh murid yang tidak ada di sekolah seperti terapi cahaya yang dapat memberangsangkan penglhatan dan pergerakan mereka. Pengalaman menaiki feri sangat teruja dengan hujan  lebat menyebabkan suasana dalam feri basah kerana tempias dan angin kuat. Walau bagaimanapun dengan izin Allah rombongan selamat  tiba di Jeti Butterworth dam memulakan perjalanan pulang dengan menaiki bas semula.

Tilawah al Quran Pendidikan Khas Daerah Larut Matang & Selama

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama 

Acara ini melibatkan semua sekolah PKBP  di daerah Larut Matang & Selama. SK Seri menyertai sebanyak 5 acara iaitu Nasyid, Azan, Hafazan, Tilawah dan Pertandingan Bercerita. Sukacitanya peserta dari SK seri Aman memenangi pertandingan Bercerita dengan mendapat tempat pertama dan seterusnya mewakili peringkat daerah  oleh adik Ong Joo Sarn. Manakala tempat kedua dimenangi oleh adik Mohamad Amin bin Mat Isa dalam acara Tilawah dan seterusnya tempat ke tiga dimenangi oleh adik Muhammad Ridwan b. Sabri dalam acara Hafazan. Tahniah kepada mereka yang menang dan cuba lagi. Pertandingan ini memberi peluang kepada murid-murid PKBP mengasah dan menguji  bakat-bakat mereka di samping dapat bersosial antara sekolah-sekolah.    

Kempen Sayang Diri Sayang Sekolah

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama

Melalui kempen ini dapat meningkatkan kesedaran murid terhadap kepentingan menghargai diri dan  peka terhadap alam sekeliling. Ia juga dapat melatih murid murid mematuhi peraturan dan mendisiplinkan diri. Antara aktiviti yang disusun ialah Disiplin/Bimbingan dan Kaunseling  pada 15 September 2008 (hari pertama). Pada hari kedua aktiviti Kebersihan dan Kesihatan dan seterusnya pada hari berikut ialah Pertandingan Mewarna Poster bertemakan Kesihatan dan Program Kemuncak pada hari Jumaat dengan menjalankan pertandingan Buku Skrap  bertemakan Kesihatan. Hadiah diberikan kepada pemenang-pemenang dan diikuti dengan hadiah saguhati kepada kumpulan yang tidak mendapat tempat dalam pertandingan. Program ini diatur pada setiap hari selama sejam sebelum waktu rehat PKBP.  

Program Lestari Kemerdekaan

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama 

Tujuan program ini untuk mendedahkan kepada murid-murid semangat patriotik  dan aktivti –aktiviti di jalankan sepanjang  bulan kemerdekaan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pelancaran  Lestari  Merdeka, pertandingan nyanyian  lagu patriotik, pertandingan mewarna, kuiz merdeka  dan pameran lukisan. Program ini  dilangsungkan selama seminggu pada waktu sebelum rehat PKBP.

My Happy Day

Disediakan oleh RAZIAH BINTI MAT ALI & ROZITA BINTI ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang & Selama

 

100_0316.jpg 100_1474.jpg 100_1497.jpg

picture-399.jpg

Satu program untuk memperingati dan meraikan Hari Lahir Pendidikan Khas SK Seri Aman, Pokok Assam. Progaram ini dilaksanakan sebanyak tiga kali dalam setahun dan telah diadakan sebanyak dua kali bagi meraikan kelahiran  warga Pendidikan Khas dari bulan Januari hingga Ogos 2008. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti permainan antara murid-murid, pemberian hadiah kepada warga pendidikan khas yang menyambut hari lahir pada bulan tersebut, jamuan makan dan acara kemuncak memotong kek bersama-sama.  Program ini dirasmikan oleh pihak pentadbir dan sambutan hari lahir juga melibatkan pihak pentadbiran .