Mengenal penyakit Cerebral Palsy

Disediakan oleh ROZITA BT ARIFFIN AJK Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama

Sekali imbas, jika dilihat dari riak wajah, fizikal mahupun mentalnya, Siew Mei (bukan nama sebenar), 4, tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan anak-anak normal yang lain. Malah, kanak-kanak comel yang sihat ini juga memiliki kemahiran bersosial dan mudah mesra dengan sesiapa saja di sekelilingnya.  Bagaimanapun, jika diteliti cara dia berjalan, Siew Mei mengalami kesukaran kerana kedua-dua belah tapak kakinya agak sedikit menjingkit dan tirus ke dalam. Menurut ibunya, Siew Lye ketika anak bongsunya mencecah usia setahun, tiada tanda-tanda menunjukkan bahawa dia sudah boleh mula berjalan. “Anak saya tidak menunjukkan sebarang perkembangan yang berkaitan dengan pergerakan (motor) seperti kanak-kanak normal lain seusianya. “Saya menyedari bahawa perkembangan anak saya agak lambat berbanding kanak-kanak normal lain dan dia tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia boleh berjalan dan duduk,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Sebaliknya, ketika mencecah umur dua tahun, Siew Mei hanya menghengsot-hengsotkan punggungnya untuk bergerak. Walaupun dari segi perkembangan intelektualnya Siew Mei boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak yang pintar, namun perkembangan pergerakan (motor) yang agak lewat menimbulkan kebimbangan ibunya. Setelah menjalani pemeriksaan doktor, Siew Mei disahkan menghidap cerebral palsy (CP) iaitu sejenis spastik diplegia yang mengakibatkan kekejangan otot-otot pada kedua-dua belah kakinya. Kedua-dua belah kaki Siew Mei menjadi spastik yang menyebabkan keabnormalan ketika berjalan, dia terpaksa menjingkit dan kedua-dua belah tapak kakinya termasuk ke dalam. Menurut laporan doktor, masalah yang dialami oleh Siew Mei mempunyai kaitan dengan sejarah kelahirannya. Hasil siasatan doktor mendapati, Siew Mei adalah bayi yang tidak cukup bulan dan kedudukannya juga songsang ketika dilahirkan. Perkembangan sebagai janin yang belum cukup matang ketika itu menyebabkan Siew Mei memerlukan bantuan pernafasan (oksigen) selama lapan hari bagi membolehkan paru-parunya berfungsi. Selain memerlukan bantuan pernafasan, Siew Mei juga mempunyai rekod pernah mengalami masalah nafas terhenti (apnea) yang memungkinkan bekalan oksigen ke otaknya terganggu. Apabila masalah ini berlaku, ia boleh menjejaskan fungsi saraf pada otak yang mengawal perkembangan pergerakan. Bagaimanapun, Siew Mei yang telah menjalani rawatan ubat-ubatan dan pembedahan untuk membetulkan otot-otot kedua-dua belah kakinya kini menunjukkan perubahan. Dia mungkin akan dapat berjalan seperti kanak-kanak lain. Pembentukan otak yang sempurna merupakan titik permulaan yang paling penting dalam perkembangan awal kehidupan manusia. Ketidaksempurnaan atau sebarang kecederaan yang berlaku pada otak memungkinkan fungsinya terganggu sekali gus menjejaskan lain-lain fungsi tubuh yang berkaitan dengannya. Kecederaan otak yang dialami sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan boleh menyebabkan fungsi saraf yang mengawal pergerakan dan tubuh termasuk kaki dan tangan (postur) seseorang terganggu. Pakar Perunding Pediatrik dan Kaji Saraf, Hospital Selayang, Dr. T. Malinee berkata, masalah ini yang lebih dikenali sebagai cerebral palsy menyebabkan pergerakan (motor) otot-otot gagal berfungsi secara normal. Menurut beliau, CP menyukarkan kanak-kanak terbabit melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak seusianya seperti berjalan, merangkak atau mengambil sesuatu objek. “Kekejangan otot yang berlaku ini menyebabkan cara mereka berjalan tidak normal seperti menjingkit, otot-otot tangan yang lembik, tidak dapat berdiri dengan seimbang dan sebagainya,” katanya. Bagaimanapun, sebahagian besar kanak-kanak spastik ini mempunyai tahap perkembangan mental yang cukup baik.

PUNCA

Dr. Malinee memberitahu, meskipun punca sebenar CP tidak diketahui, namun ia dikaitkan dengan kecederaan pada otak yang berlaku sama ada dalam proses kehamilan, semasa dan selepas bayi dilahirkan. “Pakar-pakar perubatan masih dalam proses kajian untuk mencari punca sebenar CP,” katanya. Puncanya terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

A. Semasa dalam kandungan

– Jangkitan kuman seperti rubella, toxoplasmosis, chicken pox, cytomegalovirus (CMV) dan AIDS boleh menjejaskan pembentukan otak janin dalam tempoh empat bulan pertama kehamilan.

– Pendedahan kepada bahan-bahan toksik seperti minuman keras, tabiat merokok dan penyalahgunaan dadah. Bahan-bahan kimia yang terkandung dalam kesemua elemen itu boleh merencatkan pertumbuhan organ-organ penting janin seperti otak, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

– Kekurangan zat pemakanan. Ibu yang kurang mengambil makanan yang seimbang seperti asid folik dan vitamin boleh menjejaskan pertumbuhan janin.

– Faktor genetik. Masalah terlebih kromosom Trisomi 13 dan Trisomi 18 boleh mengakibatkan muka, jantung, otak, kaki dan tangan janin mengalami kecacatan.

– Ibu-ibu yang menghidap penyakit-penyakit yang serius seperti diabetes, jantung, buah pinggang, tiroid dan epilepsi.

– Kehamilan kembar

– Bayi yang songsang

B. Semasa kelahiran

Dengan kecanggihan dan kepakaran dalam bidang obstetrik pada masa kini, risiko untuk bayi mengalami kecederaan pada otak semasa dilahirkan terlalu rendah. Kriteria yang meningkatkan risiko seseorang bayi mendapat CP semasa dilahirkan ialah:

– Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan (premature). Bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan mempunyai risiko mendapat CP yang cukup tinggi berbanding bayi yang normal.

– Bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 2.5 kilogram. Dianggarkan risiko bayi yang dilahirkan dengan berat badan yang kurang daripada 1.5 kilogram mendapat CP ialah antara lima hingga lapan peratus. Malah, bayi-bayi ini juga mempunyai risiko 25 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat CP berbanding bayi yang dilahirkan normal.

– Bayi yang lemas dan tertelan najis semasa dalam kandungan (meconium aspiration).

– Penyakit kuning (jaundis). Ia berpunca daripada kekurangan G6PD, masalah rhesus darah yang tidak sesuai antara ibu dan bayi dan kelahiran tidak cukup bulan. Kandungan billirubin yang tinggi boleh merosakkan otak.

C. Selepas dilahirkan  

– Asphyxia. Masalah kesukaran bernafas seperti penyakit asma menyebabkan oksigen tidak sampai ke otak.

– Shaken Baby Syndrome. Bayi yang digoncang dengan kuat supaya berhenti menangis boleh menggegarkan bahagian otak.

– Keracunan ubat-ubatan seperti panadol, minyak tanah dan sebagainya.

– Tertelan benda asing.

– Kemalangan jalan raya yang mencederakan kepala dan otak.

Jenis-jenis CP

– Spastik. Kekejangan pada bahagian sebelah kanan tubuh. Jika tangan dan kaki kanan terbabit ia dipanggil hemiplegia. Jika spastik ini membabitkan kedua-dua belah bahagian kaki ia dipanggil diplegia. Jika ia membabitkan seluruh tangan dan kaki dinamakan quadriplegia.

– Diskinetik. Pergerakan abnormal yang tidak boleh dikawal.

– Ataxic. Otot-otot tangan atau kaki yang lembik. Bagaimanapun, kategori ini paling jarang berlaku. – Campuran kesemuanya.  

Masalah-masalah yang dikaitkan dengan CP

Dianggarkan lima hingga 60 peratus kanak-kanak yang menghidap CP menghadapi beberapa masalah lain seperti:

– Lewat perkembangan mental

– Epilepsi

– Kerencatan otak

– Masalah pembelajaran

– Masalah pertuturan

– Masalah kepekakan

– Masalah penglihatan seperti juling, rabun atau hilang penglihatan

– Masalah emosi

Rawatan

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang menghidap CP dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor kerana terdapat kaedah yang boleh membantu masalah anak-anak ini. Kaedah yang digunakan ialah: – Ubat-ubatan. Ia untuk mengurangkan masalah ketegangan otot-otot dan masalah epilepsi. Selain itu suntikan ubat Botulinum Toxin pada bahagian otot-otot yang tegang juga dapat membantu mengurangkan keadaan anggota tubuh yang spastik. – Pembedahan. Sekiranya rawatan ubat-ubatan gagal, kaedah pembedahan akan dilakukan dengan memotong dan memanjangkan otot-otot yang tegang. – Proses pemulihan – Rehabilitasi. Proses pemulihan kanak-kanak CP ini merangkumi pakar fisioterapi, juru pulih cara kerja, pakar terapi pertuturan, pakar telinga, pakar mata dan pakar psikologi. Selain itu, ia juga membabitkan guru-guru sekolah khas yang mempunyai latihan dalam pembelajaran kanak-kanak istimewa. Penggunaan splint, kasut khas dan alat-alat bantuan orthotic termasuklah corner feat iaitu kerusi khas, standing frame, rollator dan walker juga diperlukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: