Cerpen drpd. SMK Peng. Aur

Disediakan oleh ENCIK MOHAMAD BOHARI BIN KULUP SALLEH  (Guru Pendidikan Khas)

`IZZATIKU, `1ZZATIMU JUA

 

  ….. kering sudah air mata kak Jah dek merembes saban hari. Sudah tak ada lagi yang berbaki.   Inilah penangan  kecewa yang dialaminya. Dia ingat sangat Ustaz Zahidi kata  perbuatan itu ditegah agama. Namun, dia tewas dengan runtunan naluri keibuan.

 

     Abang Nazar pun sedih juga. Tapi dia sabar dengan ujian itu. Abang Nazar akur dugaan Tuhan. Dugaan yang meningkatkan maqam makhluk-Nya. Orang yang kental imannya dapat pahala. Orang yang tak tahan diuji, entahlah! Abang Nazar kerap ‘ponteng’ memotong, bawa anak jumpa pakar untuk rawatan dan sesi terapi anggota. Banyaklah masa dan wang ringgitnya terlebur.  Dia tak  mengomelpun.  Menggerutu pun tidak.  Dia tahu itu tanggungjawab dia. Dia reda.

 

     Setiap kali selepas solat lima waktu, abang Nazar dengan Kak Jah menadah tangan memohon Tuhan limpahkan keampunan dan kekuatan iman serta kejayaan di dunia, kejayaan di akhirat kepada dirinya, kepada isterinya serta kepada anak-anaknya.  Serta pohon anak bongsunya normal.  

 

     Hati kak Jah terus mengkelan. Mengkelan di atas kesilapan sendiri.  ” Kalau aku tak kalut, kejadian ini tak berlaku “.  Dia membentak diri.  Pagi itu kak Jah menolong abang Nazar kutip getah buku. Dia tak berhati-hati. Dia terhambat-hambat pergi dari pokok ke pokok tanpa memerhatikan denai. Kak Jah tersepakkan tunggul yang diselaputi daun ulan tebal.   

 

     ” Gedebukkk!” terdengar bunyi yang memecah bening pagi. Dia tergolek ke tanah  dan bergolek-golek macam nangka busuk yang gugur ditiup angin, sehinggalah tertampan pada banir yang membuatkannya pengsan berjam-jam. Perutnya bagaikan terburai.  Isi perutnya, bagaikan terpacul. Muka abang Nazar pucat-lesi. Toreh tak berdarah dek ngerinya melihat kejadian itu. Abang Nazar mencempung kak Jah untuk mendapatkan rawatan kecemasan.  Ketika itu kandungannya berusia enam bulan.   

 

     Akibat hantukan  kuat, maka, lebamlah seluruh badan dan kecederaan pada spinal chord pada kandungan itu. Luluhlah hati si-ibu mendengar penderitaan si-anak yang bakal melihat bulan dan matahari tidak berapa lama lagi menurut pakar perbidanan, Dr Ajaib a/l Gurmeet Singh. Pujukan serta kata perangsang abang Nazar sudah tidak bermakna. Sudah mangli di telinganya.

 

     Berita sedih itu bukan sahaja ditangisi oleh kak Jah laki-bini sekeluarga. Malah  oleh seluruh warga Chabang Bungor. Berlonggok-longgok simpati tiba. Bertimbun-timbun empati menjelma. Hari-hari yang mendatang terus berlalu. Seorang kanak-kanak yang ketot kemetot serta bertopang itu rupa-rupanya tidak hadir sendiri.  Dia ditemani hikmat dan rahmat ke Chabang Bungor. 

 

     Dia kanak-kanak rajin. Dia kanak-kanak berakhlak mulia. Dia kanak-kanak cemerlang, gemilang dan terbilang dalam kurikulum mahupun kokurikulum di sekolah atau di luar sekolah.  Kecemerlangan si-anak ini memberikan tali hayat buat si-ibu yang bertarung nyawa mengandung dan melahirkannya. Buat si-ayah, abang, kakak dan kesemuanya.

 

     “Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu. Kau menganugerahkan aku dengan  kurniaan yang tidak ramai manusia berkesempatan memperolehnya. Ya, Allah, ya Tuhanku, Engkau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, Engkau limpahkanlah keredaan dan kasih sayang-Mu kepada mereka, seperti mana mereka menyayangiku ketika aku kecil dan sehingga kini. Ya Allah ya Tuhanku, aku memanjatkan kesyukuran kepada-Mu kerana mempermudahkan segala urusan dalam hidupku.  Engkau jualah yang memenuhi segala hajat dan cita-citaku. Engkau mengutuskan jejaka tampan berpekerti mulia buat mengisi kekosongan hidupku. Aminnn. Ya Rabbal `alaminnn!”  `Izzati mengucup tangan sambil mengukir senyum mengenangkan kejayaan yang diperolehnya. 

 

     “Hai, apa yang lucunya tu, tersenyum aje!” Mukhlis mengejutkan isterinya,  seorang  eksekutif bank yang tengah mengelamun.  Inilah isteri kesayangnnya, yang ditemuinya empat tahun lalu ketika sama-sama mengikuti program ijazah kedua di IPTA di ibu negara. 

 

     “Eh, abang! tak perasan pulak. Teringatkan peristiwa lalu.  Mari minum. Dah lewat ni.  `Izzati cuba menyembunyikan nostlagia yang dinikmatinya sambil bangun mencari-cari topang. Uda dan dara itu berjalan beriringan. Mukhlis memegang lembut tangan isterinya. `Izzati menggenggam kemas tangan suaminya. Mereka saling tersenyum menandakan keintiman hidup yang kian serasi. 

 

 

 

    

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: