Phelps penghidap simptom Hiperaktif

Disediakan oleh PUAN MUNIRAH BINTI SABRAN (Penyelaras PPKI)

Phelps penghidap simptom Hiperaktif

DI SEBALIK kekaguman orang ramai terhadap kehebatan Michael Phelps mencipta sejarah dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing, tidak ramai tahu betapa kejayaan itu bukan datang dengan mudah.

Sebelum mampu merangkul lapan pingat emas di Beijing, hidup Phelps menderita. Dia menghidap simptom Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan seawal usia tujuh tahun.

Phelps juga pernah diberitahu gurunya bahawa dia tidak mampu berjaya dalam hidup kerana gagal memberi tumpuan dalam kehidupan sehariannya.Disebabkan simptom itu, Phelps adalah budak yang tidak boleh duduk diam walaupun untuk tempoh singkat. Dia juga gagal memberi tumpuan kepada pelajaran atau pekerjaan yang diberikan.

Dalam autobiografinya, Phelps berkata, dia sentiasa berlari-lari, menyelinap di celah orang ramai, mencuri makanan ringan rakan sebaya dan menimbulkan kekecohan.

“Saya juga sukar dikawal di meja makan kerana tidak boleh duduk diam. Saya gemar menggoyang-goyangkan pen atau pensil tetapi jika objek itu tiada, saya mengambil pisau daging panggang untuk digoyang,” katanya.

Ibunya, Debbie, berkata Phelps ketika kecil sangat bertenaga dan tidak berhenti bertanya mengenai apa saja.

“Nampaknya dunia sukan menjadi tempat untuknya menyalurkan lebihan tenaga dimiliki,” katanya.

Walaupun hubungan kekeluargaan erat, ibu bapa Phelps tidak hidup bahagia. Justeru, Phelps menghabiskan masa berenang di kolam ketika ibu bapanya bertekak di rumah.

Pada usia sembilan tahun (1994), bapanya Fred, anggota polis di Maryland dan Debbie berpisah. Debbie membesarkan Phelps dan dua kakaknya sendirian.

Dalam keadaan mencabar itu Debbie menggalakkan anaknya berusaha sebaik mungkin untuk menggapai apa saja yang diimpikan.

Debbie memang suka apabila Phelps memilih sukan renang kerana sekurang-kurangnya aktiviti itu dapat menyalurkan sebanyak mungkin tenaga pada tubuhnya.

Kata Debbie, tumpuan luar biasa Phelps kepada sukan memang sesuatu kelaziman kepada kanak-kanak yang menghidap simptom Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan.

“Kanak-kanak yang mempunyai simptom ini sangat kreatif dan bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala tidak mampu memberi perhatian kepada sesuatu.

“Namun jika ada sesuatu yang mereka minati, anda akan dapati tumpuan mereka sangat luar biasa,” katanya.
Menurut Debbie, keadaan itu kadangkala berlarutan sehingga membawa kepada igauan. Tidak hairan apabila guru Phelps menjangka dia menghadapi masalah untuk berjaya ketika dewasa.
Ketika bersekolah, dia tidak terlepas daripada menjadi mangsa buli. Pada usia 19 tahun pula, Phelps pernah ditahan polis kerana memandu dalam keadaan mabuk.

Ketika dibicara, Phelps mengaku salah dan diarah menjalani pengawasan selama 18 bulan.

Di mahkamah, Phelps berkata: “Saya tahu betapa seriusnya kesalahan dilakukan. Saya belajar daripada kesalahan ini dan akan terus belajar daripadanya sepanjang usia saya.”

Namun, Debbie yakin Phelps mampu membawa kebanggaan kepada mereka.

Setiap kali dibuli misalnya, Phelps menjadi lebih bersemangat dan berusaha lebih kuat memperbaiki dirinya.

“Yang paling mengagumkan saya adalah kemampuan Phelps menganggarkan rentak renangan bagi mencapai sasaran ditetapkan jurulatih,” katanya.

Selain Phelps, kakaknya, Whitney juga perenang berjaya hinggalah dihimpit masalah sakit belakang yang memaksanya mengetepikan sukan itu.

Untuk membantu mengembangkan kerjayanya, Phelps mengambil ubat bagi mengawal simptom yang dihadapi ketika bersekolah.

Selepas tempoh tertentu, Phelps berjaya mengawal diri dan boleh menjadi tenang di depan orang ramai.

Apabila lagu kebangsaan Amerika Syarikat bergema di kolam renang bagi meraikan emas Olimpik pertama Phelps di Athens pada 2004, dia terkenang persepsi gurunya dulu. Phelps membuktikan tanggapan guru itu benar-benar salah.

Dalam catatan sejarah, Phelps satu-satunya ahli sukan berjaya merangkul lapan pingat emas dalam satu temasya Olimpik. Tujuh daripada kejayaan itu dicatat bersama ciptaan rekod baru dunia.

Secara keseluruhan, Phelps memiliki 16 pingat Sukan Olimpik — termasuk 14 emas — dalam simpanannya sejak menyertai temasya itu pada 2004.

Bagaimana dengan guru Phelps yang memandang rendah potensinya dulu? “Dia langsung tidak memahami Phelps,” kata Debbie.

Harian Metro, 24 Ogos 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: