Muaz remaja istimewa

Disediakan oleh PUAN MUNIRAH BINTI SABRAN (Penyelaras PPKI)

KULITNYA berkedut-kedut, manakala kepalanya hampir botak. Sekali pandang, wajah dan fizikalnya saling tak tumpah seperti seorang lelaki berusia 70 tahun.

Itulah yang dialami Mohamad Muaz Mohd Taib, remaja istimewa yang sebenarnya baru berusia 20 tahun, tetapi memiliki ciri-ciri fizikal seperti orang tua.

Selain itu, ketinggiannya pula hanya 1.05 meter dengan berat badan 16 kilogram.

Muaz, dari Kampung Kubang Sepat, Jerlun, Kedah adalah penghidap sindrom progeria (cepat tua), menyebabkan dia kehilangan ciri-ciri dan kehidupan sebagai kanak-kanak serta remaja akibat penyakit genetik yang jarang berlaku hingga menyebabkan dia menjalani proses penuaan tujuh kali lebih cepat daripada kadar biasa.

Keadaan itu menyebabkan remaja terbabit terpaksa memakai pakaian kanak-kanak berusia enam tahun serta memakai kasut bersaiz tiga.

“Walaupun memiliki fizikal sebegini, saya mahu buktikan saya mampu bekerja dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Walaupun fizikalnya tidak normal seperti lelaki lain, Mohamad Muaz berjaya membuktikan kemampuannya apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat sijil di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra, Jun lalu, dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).

Muaz turut menerima anugerah khas sempena Hari Kerjaya ‘Snap-A-Job’ 2008 menerusi Program Pertauliahan Profesional (3P) yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di ibu negara, baru-baru ini.

Dia yang memiliki pengetahuan dalam bidang IT berharap mendapat pekerjaan dalam bidang berkaitan.

“Saya memang berharap untuk mendapat pekerjaan dalam bidang itu kerana mahu mengaplikasikan segala apa yang dipelajari di politeknik sebelum ini.

“Melihat keadaan fizikal saya, tentu ramai tidak yakin dengan kemampuan saya, tetapi saya yakin saya boleh melakukannya jika diberi peluang,” katanya.

Muaz yang juga anak ketiga daripada enam adik beradik itu bagaimanapun mengakui tidak boleh melakukan kerja-kerja yang memerlukan kekuatan fizikal berikutan keadaan dirinya.

“Saya akui keadaan ini mendatangkan masalah kepada saya, terutama jika perlu bergerak dari tempat ke tempat yang jauh. Atas faktor itu saya memilih bidang IT kerana ia tidak memerlukan saya bergerak jauh dan lebih tertumpu di dalam pejabat,” katanya.

Selain itu, Muaz bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di universiti tempatan dalam bidang sama.

‘Kelainan’ fizikalnya turut menyebabkan Muaz sering menjadi tumpuan ramai, bagaimanapun remaja ini sudah lali dengannya.

“Saya tak kisah. Memang ramai yang akan bertanya macam-macam apabila pertama kali berjumpa saya.

“Saya tak malu dengan keadaan saya dan saya reda dengan ketentuan ilahi.

“Sewaktu mula-mula memasuki politeknik, ramai pelajar mengerumuni saya. Hampir seminggu saya menjadi ‘popular’.

“Bagaimanapun, selepas itu semuanya seperti biasa dan pelajar lain tidak pernah meminggirkan saya, sebaliknya sering memberi kerjasama,” katanya.

Anak pasangan Mohd Taib Ahmad, 47, dan Noor Laila Amin, 47, ini dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia tiga bulan.

Daripada lima anak mereka, cuma Muaz menghidap penyakit itu.

Noor Laila berkata, walaupun memiliki fizikal seperti orang tua, Muaz memiliki otak cerdas dan ini dibuktikan apabila dia berjaya memperoleh keputusan baik dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta berjaya melanjutkan pelajaran ke politeknik.

“Dia juga khatam membaca al-Quran ketika berusia sembilan tahun. Malah, dia aktif bersukan dengan bermain futsal dan ping pong, selain pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan catur peringkat daerah,” katanya.

Noor Laila berkata, walaupun menghidap penyakit itu, Muaz sihat dan jarang dijangkiti penyakit lain.

“Jika orang lain boleh demam berkali-kali dalam setahun, dia hanya sekali dalam setahun. Saya fikir dia memiliki semangat kuat serta tabah,” katanya.

Dalam satu kajian di Belanda, sindrom progeria yang mula dikesan pada 1886 ini hanya berlaku satu daripada empat juta kelahiran.

Difahamkan, kini hanya ada 48 kes di seluruh dunia manakala dalam sejarah perubatan, kira-kira 100 kes saja dikesan.

Riadz@hmetro.com.my 

Harian Metro, 24 Ogos 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: