Menyelami budak istimewa

Disediakan oleh HILDA AIN BINTI HASSAN Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama

SEKALI imbas, anak yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan kelihatan seperti kanak-kanak normal lain yang berlari riang ke sana sini. Namun, apa yang membezakan mereka dengan kanak-kanak biasa ialah cara berkomunikasi dan berhubung satu sama lain. Kanak-kanak normal biasanya menjerit atau ketawa menyuarakan perasaan mereka tetapi bagi kanak-kanak istimewa , hanya mimik muka dan bahasa isyarat yang dapat dilakukan meluahkan apa yang terbuku di hati.Begitupun, senyuman riang jelas terukir di wajah pelajar Sekolah Pendidikan Khas (SKPK) Shah Alam, Selangor apabila dikunjungi sekumpulan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), baru-baru ini.

Kunjungan berkenaan adalah sebahagian daripada kerja kursus pelajar FKPM yang bertujuan mempelajari keberkesanan komunikasi dalam masyarakat terutama di kalangan mereka yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan (bisu).

Pengarah Projek, Nur Suryani Ahmad, 23, berkata, program lawatan berkenaan diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar FKPM mengenai cara yang betul berkomunikasi dengan kanak-kanak istimewa.

Menurut Nur Suryani, setiap pelajar diwajibkan mencari jalan masing-masing berinteraksi dan mendekati dunia mereka.

Kebanyakan pelajar yang menyertai program berkenaan tidak pernah bergaul dengan golongan yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan seperti kanak-kanak terbabit.

Untuk itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti dalam kumpulan bersama kanak-kanak berkenaan antaranya melukis, senamrobik serta membuat kraftangan.

“Bagi kebanyakan pelajar FKPM, peluang menyelami dan berdampingan dengan kanak-kanak berkenaan pengalaman pertama dan pada awalnya mereka kelihatan sedikit kekok.

“Tetapi selepas menyelami dan mendampingi mereka, pelajar akhirnya dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak berkenaan menggunakan pelbagai cara.

“Rata-rata peserta program dapat menghayati maksud tersirat di sebalik lawatan ini dan semoga pengalaman ini dapat membantu kami untuk menjadi masyarakat yang lebih prihatin suatu hari kelak,” katanya.

Bagi Zulhelmy Mohd Nazari, 23, mempelajari cara untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak istimewa berkenaan amat mencabar bagi pelajar komunikasi sepertinya.

Pelajar semester empat jurusan Perhubungan Awam ini berkata, kanak-kanak istimewa itu pada mulanya kelihatan agresif tetapi sebenarnya mereka mudah mesra dan senang untuk diajak berbual.

Sifat semula jadi kanak-kanak berkenaan yang mudah didekati sedikit sebanyak membantu dia dan rakannya untuk mengadakan sesi beramah mesra.

“Kanak-kanak ini aktif namun mereka sebenarnya mudah untuk didekati. Mereka memang agresif dan kita perlu mempunyai kesabaran untuk melayan kerenah mereka.

“Apapun, kunjungan kami ke sekolah pendidikan khas ini amat bermakna dan memberi banyak pengalaman berharga yang tidak mungkin dapat dipelajari di dalam kelas,” katanya.

Rakannya, Siti Norhanis Rakmad, 23, pula berkata, kanak-kanak berkenaan memiliki sifat kerjasama yang tinggi dan pada masa sama, turut mempunyai kreativiti tersendiri. “Sebenarnya tidak susah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak berkenaan jika tahu sedikit asas bahasa isyarat.

“Begitupun, mereka sebenarnya masih boleh memahami apa yang kita maksudkan sekiranya kita melukis atau menulis perkataan berkenaan.

“Kemesraan yang terjalin bagaikan sukar untuk dipisahkan dan jika berkesempatan, saya ingin mengunjungi mereka lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKPK, Aisah Bakar, berkata, sekolah berkenaan mempunyai lebih 100 pelajar dan 50 daripadanya tinggal di asrama yang disediakan.

Menurut Aisah, lebih separuh daripada pelajar berkenaan adalah lelaki dan kebanyakan pelajarnya berusia antara enam hingga 14 tahun daripada pelbagai kaum.

Katanya, murid berkenaan melalui peringkat pendidikan sekolah rendah selama lapan tahun berbanding enam tahun bagi kanak-kanak normal untuk memastikan mereka mendapat keperluan pendidikan yang secukupnya.

“Program sebegini amat penting bagi kanak-kanak ini sebagai salah satu persediaan mereka untuk menghadapi dunia luar apabila mereka tamat belajar kelak.

“Ia banyak memberi pendedahan kepada mereka terutama daripada segi pergaulan dan komunikasi dengan masyarakat yang berbeza daripada mereka,” katanya.

– Harian Metro

Teks Hariyati Ariffin

rencana@hmetro.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: