Gigit jari hampir putus

Disediakan oleh HILDA AIN BINTI HASSAN Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama


SEORANG anak seusia empat tahun menggigit hampir keseluruhan jari tangan dan kakinya sehingga berlubang dan hampir putus kerana tidak tahan dengan sikap ibu bapanya yang sering bergaduh.

Oleh kerana orang tua saling menuding jari antara satu sama lain dan hampir bercerai, si anak menjadi sedih.


Justeru, antara perkara dilakukan si kecil itu untuk melepaskan tekanan adalah dengan menggigit dan mencederakan jari-jemarinya sendiri, kata Pengasas dan Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-kanak Nury, Datuk Noor Laily Abu Bakar.

Menurutnya, ketika kaunseling dilakukan terhadap anak dan ibu bapa di institusi miliknya, si anak melompat dan duduk di ribaan kaunselor ekoran tidak tahan melihat perang mulut serta maki hamun antara ibu dan bapanya.

Noor Laily mengakui terpaksa memberi kaunseling terhadap pasangan itu kerana simpati dengan si anak yang begitu tertekan dengan kelakuan ibu bapanya.

Memiliki kerjaya profesional dan sentiasa sibuk, mereka tidak punya masa untuk melayani kerenah anak apabila pulang ke rumah, menyebabkan si anak bagaikan trauma dalam mencari erti kasih sebenar.

“Kedua-duanya bekerja sebagai arkitek. Namun sering mencipta pergaduhan dan saling menuding jari kerana si suami ada hubungan sulit dengan wanita lain. Begitu juga isteri sudah tidak tahan lagi kerana terlalu mengejar kerjaya sehingga menyebabkan anak mengalami tekanan perasaan yang teruk.

“Saya menasihati pasangan itu mengambil keputusan terbaik sama ada menyelamatkan si anak atau menyelamatkan rumah tangga mereka dan memikirkan semasak-masaknya kerana ia akan memberi kesan besar terhadap anaknya kelak.

“Dalam perundingan yang menekankan aspek keibubapaan, pasangan itu akhirnya memilih perceraian kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka tetapi berjanji untuk tidak mengabaikan si anak walaupun berlaku perpisahan,” katanya.

Menurut Noor Laily, ada kalanya perceraian boleh membawa kebaikan kerana pasangan mula bermuhasabah diri di samping memikirkan yang terbaik buat anak mereka.

Dalam masalah yang dihadapi pasangan itu, walaupun sudah tidak sebumbung, wujudnya persefahaman antara keduanya sehingga memberi kesan positif kepada si anak walaupun sudah berlaku perceraian.

Katanya, sebaik si ayah berkahwin lain, dia tidak mengabaikan anaknya kerana isteri barunya pandai mengambil hati dan menyayangi anak itu tanpa memikirkan statusnya sebagai ibu tiri.

“Apa yang ingin saya tekankan di sini, sekiranya sesebuah perkahwinan tidak membahagiakan dan pasangan mencari alternatif untuk keluar daripadanya, amat penting mereka memikirkan soal masa depan anak.

“Soal perbalahan antara ibu bapa harus diketepikan kerana dalam perceraian anak sering menjadi mangsa.

“Apa yang menariknya mengenai keluarga ini, apabila kaunseling diberikan, sikap ibu bapa agak positif dan menerima baik segala nasihat kerana memikirkan masa depan anak.

“Lebih elok sekiranya pasangan bercerai tetapi si anak dijaga secara bergilir-gilir dengan baik tanpa berebut-rebut kerana kesan yang baik akan memberi pengaruh yang mendalam kepada si anak.

“Bahkan, lebih membanggakan lagi, isteri baru turut datang menghadiri kaunseling bersama si anak demi memastikan tidak berlaku gangguan dalam usaha mengembang potensi diri, kasih sayang anak di samping menikmati institusi keluarga harmoni yang sebenar,” katanya.

Sebagai kaunselor berpengalaman dan sering menangani kes mengenai kanak-kanak, beliau menyatakan anak-anak memerlukan kasih sayang tanpa syarat daripada kedua orang tuanya.

Katanya, ibu bapa yang berjaya adalah mereka yang menyeimbangi peranan antara kerjaya dan rumah tangga selain menumpahkan tanggungjawab buat anak-anak.

Bahkan beliau turut menekankan pentingnya keluarga memikirkan usaha menitikberatkan anak walaupun bekerja.

“Anak-anak perlu dipeluk dan mesti berbual selalu untuk bertanya khabar dan sebagainya.

“Sekiranya terlalu mengejar material sehingga mengabaikan anak-anak, keadaan itu akan mengeruhkan lagi rumah tangga terutama apabila ibu bapa tidak punya pengalaman luas dalam menangani masalah dan baru saja berkahwin,” katanya.

Berdasarkan pengalaman menangani anak seusia empat tahun yang dilahirkan normal, beliau berkata anak itu akhirnya menjadi ‘bisu’ kerana dijaga oleh seorang amah yang cacat anggota pendengaran (bisu).

Oleh itu katanya, adalah penting mengambil kira pelbagai aspek dalam mengurus anak terutama mereka yang masih kecil.

Ini kerana tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menyediakan kemudahan asas iaitu rumah atau makan minum tetapi peranan mereka menjangkau lebih daripada itu.

Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my

 Harian Metro, 30 Julai 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: