ADHD – Bawa jumpa psikiatri

Disediakan oleh HILDA AIN BINTI HASSAN (Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama)

“BERJUMPA pakar psikiatri? Buat apa? Anak saya bukan sakit jiwa, dia sihat. Dalam keluarga saya tiada yang sakit jiwa. Tidak mungkin perkara itu terjadi pada anak saya.”

Ini reaksi biasa yang diterima daripada sebahagian besar masyarakat apabila diberitahu ada ahli keluarga mereka perlu dirujukkan kepada pakar psikiatri.

Ramai takut dikaitkan dengan perkataan ‘psikiatri’, seolah-olah ia najis yang tidak hilang. Stigma negatif ini menyebabkan ramai tidak mahu mengaku walaupun tahu mereka perlu bantuan pakar.

Apabila diberitahu anak anda perlu dirujuk pada pakar psikiatri, bukan bermakna dia sakit jiwa atau kurang siuman, cuma kesihatan mentalnya mungkin terganggu. Ini bermakna dia mungkin tidak dapat berfikir secara normal seperti kanak-kanak lain.

Masalah kesihatan mental bukan gila atau kurang siuman. Kesihatan mental adalah cara kita berfikir, merasa, berkelakuan dan berinteraksi dengan orang lain. Ia juga boleh mempengaruhi persepsi seseorang pada diri sendiri dan bagaimana dia melihat masalah serta bertindak menyelesaikannya.

Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Profesor Madya Dr Aili Hanim Hashim, berkata banyak faktor mempengaruhi kesihatan mental seseorang, antaranya kurang perhatian keluarga, cara dibesarkan, dianiaya dan didera serta kejadian negatif dalam keluarga seperti ibu bapa kerap bergaduh, suka marah dan menjerit atau menggunakan kekerasan.

Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrif kesihatan mental sebagai set lengkap kesejahteraan yang membabitkan fizikal, mental dan sosial. Di seluruh dunia, dianggarkan 20 peratus kanak-kanak mengalami masalah kesihatan mental yang kebanyakannya tidak dikesan dan tidak menerima rawatan.

Ibu bapa biasanya mengambil sikap lepas tangan atau tutup sebelah mata walaupun sedar anak mereka menunjukkan kesukaran kerana menganggap perkara itu akan hilang apabila anak dewasa, tetapi hakikatnya masalah akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani awal.

Banyak masalah kesihatan mental berlaku pada kanak-kanak seperti Gangguan Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD); Gangguan Daya Tumpuan (ADD), masalah pembelajaran (disleksia), terencat akal dan autisma. Namun, masalah paling kerap berlaku ialah ADHD dan ADD.

Berdasarkan program bersama Jabatan Psikiatri PPUM dengan lima sekolah rendah di Petaling Jaya, didapati lebih 50 murid sekolah mengalami masalah ADHD dan secara purata setiap kelas ada seorang kanak-kanak ADHD dalam peringkat berbeza.

Kadar kelaziman masalah mental di kalangan kanak-kanak ialah satu hingga tiga peratus dan kajian mendapati kira-kira 10 peratus orang dewasa turut mengalami masalah ini yang mungkin diperoleh ketika dewasa atau bermula sejak kecil.

Menurut Perunding Psikiatri PPUM Dr Subash Kumar Pillai, walaupun ada ibu bapa menolak apabila dinasihatkan membawa anak berjumpa pakar psikiatri, kebanyakannya bersetuju selepas memahami keadaan sebenar yang dialami anak.

Lebih penting, di kalangan murid yang menerima rawatan, lebih 50 peratus menunjukkan peningkatan prestasi dalam pelajaran. Pada peringkat awal, kanak-kanak ADHD tidak menimbulkan banyak masalah selain dilabel sebagai kanak-kanak hiperaktif dan ketinggalan dalam bilik darjah, tetapi ia memberi banyak kesan negatif, termasuk masalah sosial apabila meningkat dewasa.

“Masalah kurang daya tumpuan yang dialami menyebabkan kanak-kanak ADHD tidak dapat belajar dengan baik. Mereka tidak boleh memberi tumpuan pada pelajaran dan sukar menyudahkan tugasan. Akibatnya, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

“Kanak-kanak ADD juga ada masalah sama seperti ADHD, bezanya mereka tidak hiperaktif. Pada pandangan kasar mereka sama seperti kanak-kanak normal lain, tetapi tidak dapat memberi tumpuan di bilik darjah. Mereka sering dilabel sebagai pelajar malas, lembab dan diletakkan di dalam kelas terakhir,” katanya.

Masalah kesihatan mental ini juga ada banyak peringkat dan sesetengahnya hanya menunjukkan tanda di tempat tertentu seperti di sekolah atau rumah saja. Namun isu lebih besar ialah kelewatan pengesanan dan diberi rawatan sehingga menimbulkan masalah lain.

Antara punca kelewatan ini ialah:

  • Tanda dan gejala tidak jelas atau tidak kelihatan. Ibu bapa menganggap gejala dialami sebagai kenakalan biasa dan tiada kaitan dengan penyakit mental.Sedangkan hakikatnya perlakuan kanak-kanak yang nampak malas, tidak mahu belajar, suka menyendiri dan sukar menyiapkan tugasan disebabkan penyakit dan mereka perlu dibantu dengan berjumpa pakar untuk diberi rawatan sewajarnya.
  • Guru dan keluarga tidak tahu atau kurang jelas dengan gejala yang ditunjukkan kanak-kanak.

  • Ramai ibu bapa tidak pasti ada rawatan mampu membantu anak mereka.

  • Kesan stigma terhadap rawatan psikiatri yang dianggap hanya untuk orang sakit jiwa. Malah, ada ibu bapa tidak tahu kewujudan pakar psikiatri kanak-kanak.
    Tanda ADHD

    Tanda ADHD boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Bukan semua tanda ini ada pada kanak-kanak ADHD, tetapi untuk mengesahkan seseorang kanak-kanak mengalami ADHD dia perlu menunjukkan tanda di sekurang-kurangnya dua situasi contohnya di rumah dan sekolah.

    Tanda kurang tumpuan

  • Sukar memberi tumpuan pada apa yang dipelajari.

  • Sukar mengekalkan tumpuan pada permainan atau pelajaran.
  • Kelihatan tidak mendengar apabila kita bercakap dengannya dan kena panggil banyak kali untuk mendapat perhatiannya.

  • Biasanya sukar mematuhi arahan dan tidak dapat menghabiskan sesuatu tugas. Jika boleh pun biasanya mengambil masa sangat lama, ini termasuk makan, mandi dan memakai pakaian.

  • Sukar menguruskan tugas dan aktiviti.

  • Selalu mengelak, tidak suka atau tidak mahu melakukan kerja yang memerlukan otak untuk berfikir.

  • Kerap hilang barang.

  • Tumpuan mudah terganggu dengan persekitaran.

  • Pelupa.

  • Menghadapi masalah belajar, terutama membaca, mengeja dan mengira

Tanda Hiperaktif

  • Tidak boleh duduk diam dan jika duduk, tangan atau kaki bergerak (digoyangkan).
  • Sering meninggalkan tempat duduk dalam bilik darjah.
  • Berlari atau memanjat yang keterlaluan.
  • Sukar bermain sendiri.
  • Sentiasa bergerak seolah-olah di kakinya ada ‘motor’.
  • Terlalu banyak bercakap.
  • Tanda impulsif

  • Kerap menjawab sebelum soalan habis ditanya.
  • Sentiasa tidak sabar menunggu giliran.
  • Kerap mengganggu orang lain.

“ADHD lebih kerap berlaku pada kanak-kanak lelaki (tiga kali ganda) tetapi tiada siapa tahu sebabnya. Kanak-kanak ADHD menunjukkan kelakuan terlalu aktif, tidak sabar menunggu giliran, terutama ketika beratur, dan tidak mampu menumpukan perhatian pada satu-satu aktiviti.“Mereka juga biasanya menjawab sebelum soalan habis ditanya dan kerap memotong cakap orang. Walaupun memotong cakap orang adalah normal bagi kanak-kanak berumur enam hingga tujuh tahun, tetapi untuk kanak-kanak ADHD ia keterlaluan dan menjadi masalah.“Bukan mereka tidak mahu menumpukan perhatian atau sengaja berkelakuan hiperaktif, tetapi ia berlaku di luar kawalan mereka. Malah, ADHD antara faktor menyebabkan kanak-kanak selalu hilang apabila di tempat awam, seperti pusat beli-belah,” katanya.

Uniknya kanak-kanak ADHD boleh menghafal dengan baik, tetapi bukan dalam subjek pelajaran. Bahkan mereka juga berisiko untuk menipu (berlaku secara automatik) untuk menyelamatkan diri daripada dimarahi ibu bapa atau guru.

Mengapa perlu diberikan rawatan seawal mungkin?

ADHD atau ADD boleh memberi kesan besar dalam pencapaian akademik, perkembangan sosial dan peningkatan kerjaya seseorang. Gangguan ini lebih sukar dirawat jika masalah ini hanya dikesan ketika remaja kerana sudah menjadi sebahagian kelakuan mereka.

Selain itu, hubungan keluarga yang keruh memburukkan lagi masalah ADHD dan ADD anak. Faktor ini termasuk interaksi negatif antara ibu bapa dan adik beradik, kawalan terlalu ketat, kemurungan ibu, sikap bapa yang anti sosial dan masalah perkahwinan.

Bagi pesakit remaja, semua faktor ini menyebabkan mereka lebih rapat dengan kawan dan cenderung mengabaikan keluarga, terutama ibu bapa yang sering memarahi mereka.

Ia juga dianggap antara faktor yang boleh menyebabkan remaja ADHD dan ADD lari dari rumah.

Kira-kira 30 hingga 40 peratus remaja ADHD keciciran pelajaran dan hanya lima hingga 10 peratus berjaya belajar hingga ke peringkat tinggi.

Remaja ADHD juga menunjukkan sikap suka berlengah, melawan guru, terbabit dalam aktiviti seks dan hamil pada usia sangat muda.

Apabila bekerja, 70 hingga 80 peratus sukar menunjukkan prestasi kerja yang diharapkan dan ramai tidak mendapat kenaikan pangkat walaupun bekerja berpuluh tahun lamanya. Jika berniaga, isteri yang akan menguruskan semua hal ehwal perniagaan.

Kira-kira 40 hingga 50 peratus individu dewasa ADHD mengamalkan hidup anti sosial. Mereka lebih cenderung terbabit dalam kemalangan kerana tidak sabar dan suka memandu laju, suka melanggar peraturan, panas baran, berkelakuan kasar serta mudah mengalami kemurungan.

Justeru, ibu bapa dan guru perlu memberi lebih perhatian kepada kanak-kanak, terutama jika mereka berkelakuan luar biasa berbanding kanak-kanak normal.

Antara cara yang boleh dilakukan ibu bapa ialah meluangkan masa melakukan aktiviti bersama anak seperti bermain, bersembang, membaca atau tidur kerana melalui cara ini mereka dapat mengesan perlakuan tidak normal.

Bagi guru kaunseling, bertanyakan masalah murid ketika di sekolah juga sebenarnya sangat penting untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan mental kanak-kanak.

Jadi apabila diberitahu anak anda perlu dirujuk pada pakar psikiatri, usah melenting, sebaliknya ambil tindakan segera bagi mengesahkan sama ada anak anda mengalami masalah kesihatan mental atau tidak.

Anda boleh menghubungi klinik psikiatri PPUM di talian 03-7949 4422 sambungan 3098 untuk mendapat maklumat lanjut atau 03-7949 3099 bagi membuat temujanji atau sebarang hal berkaitan perubatan dari jam 2 hingga 4 petang setiap hari.

– Norlaila Hamima Jaamluddin, Harian Metro, 18 Jun 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: