Hidup dengan epilepsi – Kisah 1

 Disediakan oleh PUAN MUNIRAH BINTI SABRAN (Penyelaras PPKI ) dan HILDA AIN BINTI HASSAN (Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama)

Pengalaman penuntut kedoktoran
SEORANG penghidap epilepsi, Jane (bukan nama sebenar) sedang menuntut dalam tahun kedua pengajian kedoktoran apabila dia mengalami petanda amaran atau ‘aura’ pertama serangan epilepsi. Cuma ketika itu, dia tidak tahu bahawa itu adalah epilepsi.

“Saya selalu menggunakan jalan tersebut sebelum ini. Tetapi pada hari itu, saya tiba-tiba berasa pening dan kawasan persekitaran saya nampak begitu berlainan sekali. Tiada satu pun yang dapat saya cam,” kata Jane

Apabila ia berlaku sebanyak beberapa kali lagi, dia menemui seorang doktor. “Beliau memberi nasihat yang biasa kita dengar: mesti cukup tidur, cuba jangan merasa tertekan. Saya tidak terfikir tentang epilepsi ketika itu kerana saya tidak tahu apakah tanda-tandanya,” ujar Jane

Jane tidak menjalani rawatan selama hampir setahun, dan sepanjang tempoh tersebut, dia mengalami saat-saat di mana dia tidak boleh mengecam teman-teman karibnya sendiri.

Keadaan sebenar Jane dikesan ketika dia menghadiri salah sebuah kelas kuliahnya mengenai perubatan. Bila mendengar profesor neurologinya bercakap tentang petanda epilpesi, baru Jane sedar apa yang sebenarnya sedang berlaku pada dirinya.

“Saya bagi tahu profesor saya tentang petanda-petanda yang saya alami dan beliau terus menjawab bahawa ianya adalah epilepsi. Saya begitu terperanjat. Profesor saya menasihatkan saya supaya tidak berjalan seorang diri, jangan mengembara atau berenang seorang diri, dan tentunya jangan sekali-kali memandu. Saya fikir hidup ini akan berubah secara drastik dan menjadi sukar,” kata Jane.

Jane diberi ubat untuk mengawal serangan epilepsi, tetapi ada masanya, kesan sampingannya lebih teruk daripada serangan itu sendiri.

“Pengalaman paling buruk yang pernah saya alami ialah ketika saya mendapat reaksi alahan terhadap ubat yang mula-mula saya ambil. Ia bermula dengan demam panas yang didiagnosis sebagai denggi. Saya dimasukkan ke hospital, tetapi keadaan saya menjadi semakin teruk. Seluruh badan saya dipenuhi ruam,” kata Jane yang terlantar di hospital selama 11 hari.

Beliau mengaku: “Saya boleh hidup sebagai pengidap epilepsi, tetapi saya tidak tahan dengan reaksi alahan kepada ubat-ubatnya. Saya tak sanggup melalui pengalaman yang sama sekali lagi.”

Syukurlah, dia kini diberi ubat yang lebih sesuai yang dapat mengawal dengan berkesan serangan epilepsi, dengan kesan sampingan yang minima.

“Keluarga dan rakan-rakan saya memahaminya dan memberi sokongan kepada saya. Layanan mereka kepada saya tidak berubah. Begitu juga dengan teman lelaki saya yang turut menyokong saya selama ini. Saya telah menjelaskan kepadanya bahawa keadaan saya mesti dalam kawalan jika kami mahu berkeluarga pada masa depan. Saya mungkin akan sembuh, mungkin tidak. Siapa tahu?” katanya.

Mengenai kariernya dalam bidang perubatan, Jane dimaklumkan bahawa jika dia mahu mengambil pengkhususan, dia tidak boleh mengambil bidang pembedahan kerana penyakit epilepsi yang dihidapinya.

Walaupun keadaannya sedemikian dan semua kesan yang terpaksa ditanggungnya, namun Jane masih optimistik dan mampu mengawal kehidupannya.

“Ia bukanlah satu penyakit seteruk penyakit-penyakit yang lain. Saya cuba berfikiran positif untuk menghadapinya setiap hari,” ujar Jane.

Dengan semangat ketabahan dan kekuatan diri dalam melalui kehidupan hariannya, Jane berkata, “Kesedaran orang ramai mengenai epilepsi mesti dipertingkatkan lagi. Reaksi dan stigma yang tidak menyenangkan perlu dihentikan. Para majikan perlu lebih bertimbang rasa. Apa juga masa depan yang ada untuk saya, itulah yang akan menjadi matlamat hidup saya: untuk meningkatkan pendidikan orang ramai mengenai epilepsi.

Mingguan Malaysia, 22 Jun 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: