JARO bimbing OKU berdikari

Disediakan oleh HILDA AIN BINTI HASSAN  (Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama)

JOHOR BAHRU 25 Mei – Sebanyak 197,519 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikeluarkan pada tahun 2006.

Di Johor sahaja terdapat 24,228 OKU iaitu seramai 1,656 orang mengalami cacat penglihatan, pendengaran (3,416), fizikal (6,940), bermasalah pembelajaran (11,804) dan lain-lain (412).

Sehingga Februari 2008, Jabatan Tenaga Kerja Johor merekodkan seramai 270 OKU telah berdaftar sejak 2006 dan daripada jumlah itu, seramai 103 mendapat pekerjaan.

Namun, golongan OKU di Johor bertuah kerana mereka ada pusat yang bersedia membimbing dan menerima mereka bekerja, terutama dalam usaha mencari pengalaman dan kemahiran untuk berdikari.

Pusat yang dimaksudkan ialah Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (JARO) yang terletak di Jalan Sungei Chat di sini.

Pusat itu mempunyai lapan petugas yang diketuai Pengurusnya, Abdul Karim Yahya yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar dan membimbing 44 OKU yang bekerja di situ.

Menurut Abdul Karim, matlamat utama JARO adalah mendidik dan memberi latihan kemahiran kepada OKU dari segi jahitan, kraftangan dan menjilid buku.

“Pada dasarnya, JARO ingin memberi peluang kepada OKU untuk berdikari dan percaya pada kebolehan diri. Atas sebab itulah kami memberi latihan selama tiga bulan kepada mereka.

“Kami harap selepas latihan, mereka dapat mengamalkan ilmu yang dipelajari di sini untuk menyara kehidupan,” ujarnya.

Katanya, ada ibu bapa yang menghantar anak-anak OKU ke situ dengan harapan mereka akan mendapat peluang pekerjaan.

Abdul Karim menjelaskan, JARO bukanlah pusat penjagaan tetapi pusat latihan dan pihaknya tidak mampu untuk menyediakan pekerjaan kepada peserta.

“Pernah beberapa peserta datang buat latihan tetapi hanya tahan beberapa minggu sahaja. Bagaimana kami nak latih kalau mereka sendiri tidak berminat. Ada yang ingat bila datang di sini terus diberi pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan peserta yang sudah mendapat latihan di JARO berkeyakinan untuk bekerja di tempat lain, maka ada pekerja OKU yang bekerja di situ sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

“Di samping mendapat gaji bulanan, setiap pekerja mendapat wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. JARO mendapat bantuan RM48,000 setahun daripada Kerajaan Persekutuan dan RM40,000 daripada kerajaan negeri.

“Nak kira memanglah tidak cukup. Setahun perbelanjaan yang diperlukan kira-kira RM300,000 dan sebab itulah kami terpaksa meminta bantuan daripada syarikat swasta. Disebabkan masalah itulah, kami tidak berani untuk menambah pekerja OKU, takut tak terbayar gaji mereka,” katanya.

Katanya, kebanyakan hasil kerja tangan pekerja JARO dijual secara langsung kepada syarikat yang membuat tempahan atau dijual di kedai JARO yang terletak di City Square dan Holiday Plaza.

Abdul Karim turut merancang untuk memperkemaskan lagi aktiviti JARO dan berharap pada masa akan datang ada lulusan daripada Institut Kraf Negara sudi menjadi tenaga pengajar di situ.

Utusan Malaysia, 25 May 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: