RM80 juta untuk OKU

Disediakan oleh HILDA AIN BINTI HASSAN (Webmaster Laman Web Pendidikan Khas Larut Matang dan Selama)

NIBONG TEBAL 1 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk aktiviti pengurusan dan pemulihan orang kurang upaya (OKU).

Perdana Menteri berkata, daripada jumlah berkenaan, RM20.9 juta merupakan peruntukan khas yang disalurkan kepada kementerian berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja amal membantu OKU bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara RM60.15 juta pula katanya, diperuntukkan untuk program pengurusan membantu OKU seluruh negara.

“Dasar kerajaan ialah mengamalkan dasar penyayang dengan mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin serta saling bantu-membantu.

”Sebab itu perbelanjaan dikeluarkan dan setelah dibincangkan oleh Kabinet semalam, maka kita keluarkan peruntukan untuk membantu OKU selain membuktikan Barisan Nasional (BN) adalah ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat’ dan sentiasa mementingkan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Semai Bakti Fasa Kedua Peringkat Nasional bersama Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah yang juga Yang Dipertua Bakti; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Program Semai Bakti diwujudkan sebagai strategi untuk membantu negara dalam membangunkan masyarakat dan manifestasi rasa prihatin serta penyayang kepada seluruh masyarakat termasuk golongan OKU.

Program pertama Semai Bakti itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri di Felda Jerangau Barat, Terengganu pada 18 April 2005.

Dalam ucapannya itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan yang diberikan untuk aktiviti dan pengurusan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berkuat kuasa serta-merta.

Peruntukan itu katanya, meliputi sewa premis PDK yang diperuntukkan sebanyak RM500 sebulan kini dinaikkan sebanyak RM3,000, manakala untuk utiliti meliputi bayaran air dan elektrik pula diberikan sebanyak RM1,000.

“Untuk melaksanakan aktiviti dalam PDK, kita telah menaikkan peruntukan dari RM5,000 kepada RM30,000, elaun khas OKU dari RM50 dinaikkan kepada RM150, sementara untuk pekerja di PDK pula, mereka akan menerima bayaran RM800 sebulan dari RM500 ketika ini.

”Kerajaan juga mewujudkan jawatan penyelia PDK dengan memberi mereka gaji sebanyak RM1,200 sebulan, peruntukan membina bangunan PDK sebanyak RM2 juta sementara peruntukan pembelian peralatan PDK dinaikkan dari RM3,600 kepada RM50,000 untuk keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya peruntukan tersebut, kerajaan berharap ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka yang mempunyai ahli keluarga dalam kategori golongan OKU.

Ini kerana katanya, kerajaan memahami beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan terutama ketika OKU tersebut menghadapi masalah kesihatan.

”Ada golongan OKU yang menjadi profesor, ahli muzik serta guru dan mereka ini kalau berusaha akan menjadi orang yang pandai, jadi kita sentiasa berusaha dengan melaksanakan kaedah tertentu untuk membantu mereka,” katanya.

Penulis: HABIBAH OMAR dan WAN NAJIB WAN DAUD

Utusan Malaysia, 02 Febuari 2008

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: